BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN RM100 DIAGIH JANUARI 2019
Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM100 kepada setiap murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan diagihkan mulai Januari depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kementeriannya menyediakan peruntukan khas sebanyak RM328 juta untuk disalurkan kepada Kementerian Pendidikan sebelum diagihkan ke sekolah.
Katanya, kerajaan memahami dan mengambil berat keperluan perbelanjaan dihadapi ibu bapa menjelang permulaan sesi persekolahan pada awal tahun.
“Sebagai langkah prihatin untuk menangani kos sara hidup, kerajaan mengambil inisiatif untuk memberikan Bantuan Awal Persekolahan sejumlah RM100 kepada setiap murid tahun satu hingga tingkatan lima dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tujuan utama pemberian bantuan ini adalah untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang perlu ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
“Kerajaan komited untuk menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang, termasuk dari segi barang keperluan dan kelengkapan persekolahan,” katanya.
Comments