KRISMAS; TPM KONGSI PENGALAMAN
Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkongsi pengalamannya ketika belajar di sebuah sekolah mubaligh Kristian.
Mengimbas kenangan lalu, Wan Azizah berkata beliau berterima kasih kepada guru-guru biarawati di sekolah berkenaan kerana menanamkan nilai-nilai murni yang membentuknya menjadi seorang insan yang baik.
Berucap pada majlis hi-tea sempena sambutan Krismas hari ini, presiden Pakatan Harapan (PH) itu berkata perkara itu tidak dapat dipelajari daripada buku teks di sekolah.
"Saya mahu berkongsi dengan anda bahawa saya bersekolah di sekolah convent dari darjah satu hingga tingkatan lima.
"Saya terhutang budi kepada guru-guru biarawati saya yang mengajar saya bagaimana bersikap sopan, bagaimana bercakap dengan baik, bagaimana untuk banyakkan sabar.
"Semua yang saya pelajari ini tidak (diajar) dalam buku. Ini adalah bagaimana kamu dididik menjadi orang," katanya dalam ucapannya pada majlis yang diadakan di Luther Centre, Petaling Jaya.
Wan Azizah yang bersekolah di Sekolah Convent St Nicholas di Alor Setar, Kedah, turut berkongsi cerita mengenai Santa Claus, dalam menyampaikan mesejnya mengenai amalan membantu orang lain dan menghapuskan kemiskinan.
Cerita tentang Santa Claus
"Ketika saya sedang dalam perjalanan ke sini, saya menerima mesej Whatsapp tentang bagaimana Santa Claus itu sebenarnya betul. Saint Nicholas, yang merupakan seorang anak yatim, tetapi anak yatim yang sangat kaya, telah memberikan wang dan membantu tiga anak perempuan seorang lelaki yang sangat miskin yang tidak mempunyai wang walaupun untuk makan.
"Tetapi dia menyelamatkan mereka, apabila saya baca mesej itu (ia mengingatkan saya) bagaimana kamu sepatutnya menghapuskan kemiskinan.
"Cubalah untuk bantu satu sama lain, ini adalah perkara-perkara yang saya (juga pelajari) daripada (guru) biarawati saya. Amalan berbudi bermula di rumah, kita mesti bersikap baik," katanya.
Wan Azizah, merujuk kepada cerita legenda mengenai Santa Claus, yang dikatakan bermula daripada tindakan Saint Nicholas membantu seorang lelaki yang sangat miskin yang tidak mempunyai wang untuk membayar mas kahwin untuk perkahwinan anak sulungnya.
Dia kemudian menjatuhkan beg emas ke rumah lelaki miskin itu melalui cerobong.
Selepas itu setiap hadiah misteri itu dikatakan datang dari Saint Nicholas atau kemudian dikenali sebagai Santa Claus.
Comments