HARGA RUNCIT MINYAK KEMBALI DITETAPKAN SECARA MINGGUAN BERMULA 1 JANUARI 2019
Kerajaan akan kembali menetapkan harga minyak runcit secara mingguan bermula 1 Januari 2019.
Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan pada Isnin, ini susulan penurunan harga minyak mentah global secara berterusan sejak kebelakangan ini.
“Penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019 bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.
“Oleh demikian, harga runcit produk petroleum dijangka turun mulai 1 Januari 2019 dan sekiranya trend penurunan harga minyak sedunia diteruskan, maka harga minyak runcit akan diturunkan setiap minggu,” katanya.
Mekanisme penetapan minyak apungan digunakan oleh kerajaan terdahulu.
Ia menetapkan harga minyak runcit berdasarkan harga minyak mentah di peringkat global.
Di bawah mekanisme itu, sekiranya harga minyak mentah global meningkat, harga minyak runcit di pam akan turut meningkat.
Sebaliknya jika harga minyak mentah global menurun, harga minyak runcit di pam turut sama menurun.
Mekanisme itu kemudian diganti dengan mekanisme harga tetap; RM2.20 seliter bagi RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel bermula 7 Jun 2018.
Di bawah mekanisme ini, kerajaan memberi subsidi untuk mengekalkan harga itu kepada pengguna.
Ini bermaksud semakin meningkat minyak mentah global, semakin tinggi subsidi yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan.
“Kerajaan telah menanggung subsidi sebanyak RM7.14 bilion sehingga November 2018 di mana
tanggungan subsidi bagi bulan Mei sehingga November 2018 adalah sebanyak RM5.82 bilion,” kata Guan Eng.
tanggungan subsidi bagi bulan Mei sehingga November 2018 adalah sebanyak RM5.82 bilion,” kata Guan Eng.
Bagaimanapun katanya, sekiranya harga minyak mentah global meningkat semula pada masa hadapan, kerajaan akan kembali kepada mekanisme harga tetap RM2.20 seliter bagi RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.
“Pengekalan harga ini adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan pada tahun 2019.
“Ini selaras dengan manifesto PRU-14 Pakatan Harapan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membolehkan rakyat menerima faedah penurunan harga minyak tetapi membantu golongan B40 dengan subsidi bersasar bila harga minyak naik,” katanya.
Comments