UMNO SABAH BELUM MATI DAN AKAN BANGKIT
Bung Moktar berkata, Umno Sabah jika disusun dengan baik akan bertambah kuat kerana memiliki pemimpin muda yang sedia menggalas tanggungjawab untuk memulihkan parti.
“Saya berkeyakinan sebab telah berhubung dengan beberapa pemimpin muda kita, ketua Pemuda, naib ketua bahagian, timbalan ketua bahagian yang masih bersama, mereka yakin dengan kita.
“Sebab majoriti pemimpin yang kita ketengahkan adalah pemimpin-pemimpin yang dulu dipinggirkan tidak diberi tempat,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berterima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin tertinggi parti yang menaruh kepercayaan terhadapnya.
Walaupun misi memulihkan Umno Sabah bukan tugas ringan, tetapi beliau yakin mampu melakukannya.
“Rancangan Umno Sabah senang, kita dalam pembangkang, jadi kita perlu kuatkan parti untuk rampas kerajaan pada masa akan datang.
“Kita akan jadi pengimbang kerajaan, mana baik kita sokong, mana tak baik kita bangkang.”
Katanya, beliau sudah tahu sejak awal lagi, walaupun tidak dimaklumkan mengenai rancangan 36 pemimpin negeri itu keluar Umno.
“Umno sebuah parti yang kita perjuangkan secara sukarela, siapa mahu keluar kita tak halang, tetapi siapa mahu bersama Umno, kita minta kerjasama untuk memulih dan memperkuatkan parti.”
Comments