TIDAK TAHAN JADI PEMBANGKANG,LDP DIJANGKA SERTAI PN




KOTA KINABALU: Bekas parti komponen Barisan Nasional Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP) dilihat hampir pasti menyertai Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Chin Su Phin tidak mengiakan spekulasi parti itu akan menjadi ahli terbaru gabungan pemerintah itu selepas Gerakan, tetapi memberi petunjuk LDP bersedia melakukannya.

“Mungkin benar, mungkin tidak,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas, sebelum menambah: “Kemungkinan besar (sertai PN), tunggu ia berlaku secara semula jadi.”

“Apa saja mungkin berlaku dalam politik. Sesiapa saja yang kita sertai, tujuannya ialah berkhidmat kepada rakyat.”

Pada pilihan raya negeri (PRN) September tahun lalu, LDP berkata, ia tidak akan menyertai gabungan atau parti lain kerana percaya ia boleh membuat kejutan sebagai kuasa ketiga dalam pilihan raya itu.

Parti itu bertanding 46 kerusi, tetapi kalah semuanya, termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri Api-api yang ditandingi Chin dan Inanam oleh bekas ketua menteri, Chong Kah Kiat dalam cubaannya untuk kembali ke arena politik.

Chin berkata, keadaan ketika PRN dan sekarang berbeza, serta “sesiapa boleh cakap apa saja ketika berkempen”.

“Tetapi, sekarang kami tahu keputusan pilihan raya, kami akan lihat keadaan dan kemudian tentukan sama ada kami mahu sertai (parti) arus perdana.”

Ditanya sama ada beliau bimbang dengan reaksi orang ramai, Chin berkata: “Kenapa kami perlu bimbang? Walaupun anda bekerja keras, kadangkala anda tidak mendapat sokongan dan mereka yang tidak bekerja akan mendapat sokongan – bukankah ini politik?”

Katanya, malah ada cakap-cakap mengenai DAP bekerjasama dengan Umno.

“Apa yang orang akan kata mengenainya? Akhirnya, kami hanya mahu berkhidmat kepada rakyat.”

LDP yang dianggap parti berasaskan Cina sebelum ini, berkata ia kini parti berbilang kaum.

Parti itu turut bertanding di kerusi majoriti pengundi Kadazan Dusun Murut dan Bumiputera Islam pada PRN tahun lalu.

LDP ialah parti kedua meninggalkan BN selepas Upko berbuat demikian selepas pilihan raya umum ke-14 lalu. Ia tewas dalam satu kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN yang ditandinginya di bawah tiket BN pada Mei 2018.

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PEGUAM WANITA SABAH MOHON PAS KELUAR DARI SABAH

MUSA AMAN MAHU SERTAI BERSATU?