RAYUAN MUSA GAGAL,DSSA KEKAL KETUA MENTERI SABAH



Kawalan keselamatan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu diperketatkan berikutan kes pendengaran rayuan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman beliau yang mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Kawalan keselamatan bermula di laluan utama menuju ke kompleks mahkamah bagi memeriksa kenderaan yang ingin memasuki pekarangan mahkamah.

Pekarangan kompleks mahkamah dibanjiri penyokong Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) seawal 8 pagi. Dianggarkan hampir 200 orang penyokong kedua-dua belah parti hadir bagi memberi tanda sokongan kepada Musa dan Mohd Shafie.

Turut hadir adalah Menteri Belia & Sukan Phoong Jin Zhe, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Masdal, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilantik Loretto S. Padua dan Terrence Siambun dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Pada 7 November 2018, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula yang difailkan Musa terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie yang menuntut mahkamah mengisytiharkan beliau (Musa) sebagai Ketua Menteri yang sah, dan memutuskan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri adalah tidak sah mengikut perlembagaan.

Perebutan kuasa antara BN Sabah dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya, Pakatan Harapan (PH) , bermula berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas terikat 29-29 antara kedua-dua parti itu.

Selepas BN berjaya mendapat sokongan daripada dua wakil rakyat dari Parti Solidariti Tanah Airku (Star), parti itu mengisytiharkan mendapat majoriti mudah, oleh itu, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, enam ADUN BN bertindak meninggalkan BN dan menyokong Warisan menyebabkan Musa tidak lagi memegang majoriti, mendorong Juhar melantik Mohd Shafie sebagai ketua menteri, dua hari selepas Musa mengangkat sumpah.

Sumber: Borneo Today

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH