KM SABAH PERLU BENTANGKAN DAN MENJELASKAN PANDANGAN SERTA KEPUTUSAN KABINET NEGERI MENGENAI NSA
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mesti menyatakan pendirian dan keputusannya berhubung Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) yang kontroversi serta menjelaskan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian tersebut, kata Adun Moyog Datuk Darell Leiking.
Beliau berkata, Ketua Menteri perlu berbuat demikian dengan membentangkan NCA di Dewan Undangan Negeri secara telus dan mendedahkan maklumat mengenai perjanjian itu.
“Saya ingin bertanya kepada Ketua Menteri mengenai NCA, yang tular di media sosial, laman web dan menerima banyak kritikan, yang dilaporkan ditandatangani pada 30 Okt 2021.
“Tidak banyak maklumat berhubung NCA telah didedahkan atau dikeluarkan dan tambahan pula, ia dibuat secara senyap-senyap dan orang ramai mempunyai banyak persoalan mengenainya.
“Malah, tiga hari lalu, Pejabat Peguam Besar Negeri telah mengeluarkan Surat Tanpa Prejudis dan menunjukkan kebimbangannya dan saya yakin ada dalam Kabinet Negeri yang turut bimbang.
“Oleh itu, kami ingin mengetahui pendirian Kerajaan Negeri mengenai perjanjian perdagangan karbon NCA ini kerana kita semua perlu menjawabnya pada masa akan datang, dan rakyat juga berhak untuk mengetahuinya,” katanya.
Darell berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2022 di Dewan Undangan Negeri.
Katanya, beliau akan bersetuju dengan konsep penyerapan karbon iaitu perjanjian perdagangan karbon baharu yang akan memberi manfaat kepada Sabah dari segi mendapatkan pelaburan asing, tetapi Kerajaan Negeri mesti telus mengenai perkara ini.
“Konsep ini telah terbukti berjaya di Indonesia di mana pada 1 Mei tahun ini, ia menawarkan pengecualian cukai khusus dan penyerapan karbon dengan memanggil pelabur ke Indonesia serta memperakui mereka dengan kredit karbon, dan bukan tempat lain menikmati karbon kita dan menyebabkan pelepasan karbon di negara mereka.
“Contoh lain, pelabur asing BP Energy dari Amerika melabur USD3 bilion di Indonesia pada 29 Nov tahun ini dan ia juga menarik ramai pelabur datang ke Indonesia kerana mereka meneruskan konsep penyerapan karbon atau memerangkap karbon atau simpanan karbon.
“Mereka tidak menjual karbon itu kepada negara lain atau kepada pihak yang sedang melakukan kesalahan jenayah pelepasan karbon, sebaliknya mereka mereka ke Indonesia.
“Konsep ini adalah model yang Sabah harus guna pakai, tetapi tanpa sebarang pembentangan oleh Kerajaan Negeri mengenai NCA, maka kita tidak akan tahu apa sebenarnya perjanjian itu kerana kita perlu melihat kesannya terhadap Sabah,” katanya.
Darell berkata ia mustahak untuk pucuk pimpinan negeri tidak sekali-kali membenarkan pihak ketiga mengawal aset Sabah.
“Ingat kes Labuan yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri dan diluluskan, tetapi rakyat masih marah.
“Satu lagi ialah Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 yang ditandatangani namun tidak mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri, dan rakyat Sabah masih marah serta tidak berpuas hati dengan hak-hak negeri diberikan kepada Petronas, antara lain.
“Itulah sebabnya kami mohon Ketua Menteri membentangkan dan menjelaskan pandangan serta keputusan Kabinet Negeri mengenai NCA,” katanya.
Comments