PERIKSA HAID PELAJAR PEREMPUAN BUKAN NORMA, AGAMA, ATAU BUDAYA, KATA BEKAS MENTERI PENDIDIKAN MASZLEE MALIK


Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mengecam pemeriksaan kemaluan bagi mengesahkan dakwaan pelajar yang mengadu datang haid, mengatakan ia bukan norma mahupun agama atau budaya.

Maszlee berkata menggunakan disiplin dan pendidikan sebagai alasan untuk memeriksa kemaluan seseorang sama sekali tidak wajar dalam mana-mana kaedah pengajaran, budaya, agama atau norma.

“Nyata ia mencabuli kebersendirian seseorang dan suatu bentuk gangguan fizikal dan penderaan,” katanya di Facebook.

Maszlee, yang juga bekas pensyarah berkata, pendidikan haruslah mengasuh integriti, martabat, rasa tanggungjawab, dan saling hormati-menghormati.

“Amalan periksa haid oleh guru di sekolah menjatuhkan maruah dan tidak wajar; semestinya tidak patut berlaku di mana sahaja, apatah lagi di institusi pembelajaran.

“Kes yang dilaporkan itu memalukan komuniti (pendidik) dan mesti dihentikan dan dikutuk. Anak-anak kita haruslah selamat di sekolah dan dilindungi dari sebarang bentuk bahaya dan penderaan.”

Masyarakat gempar dengan dakwaan penderaan serta gangguan seksual melibatkan pelajar MRSM, antaranya pemeriksaan kemaluan pelajar wanita pada Ramadan untuk membuktikan mereka tidak menggunakan alasan datang haid untuk tidak berpuasa.

Beberapa NGO turut merujuk kepada pemeriksaan ke atas bahagian sulit pelajar untuk memastikan mereka tidak membawa sebarang barangan terlarang (contraband).

Pengerusi MARA, Azizah Mohd Dun, semalam mengumumkan siasatan akan dijalankan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku melibatkan anggota kerja MARA. - FMT 

TUESDAY, 27 APRIL 2021 
KOTA KINABALU SABAH 




Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PEGUAM WANITA SABAH MOHON PAS KELUAR DARI SABAH

MUSA AMAN MAHU SERTAI BERSATU?