SELAMAT BERPUASA KEPADA SEKALIAN MUSLIMIN DAN MUSLIMAT
Ramadan Mubarak 2021 menjelang lagi, ini bermakna sudah dua kali umat Islam di seluruh dunia menyambut hari yang penuh barakah dan nikmat ini dalam suasana pandemik COVID-19.
Bagi umat Islam di seluruh dunia, Ramadan merupakan bulan suci di mana amalan berpuasa merupakan satu daripada lima Rukun Islam. Ramadan adalah bulan kesembilan dalam kalendar lunar di mana kira-kira satu setengah bilion umat Islam menahan diri daripada makan dan minum bermula dari waktu subuh sehinggalah senja selama 12 hingga 20 jam bergantung kepada musim dan lokasi.
Malangnya, ini tahun kedua umat Islam berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19 yang menyaksikan mereka melakukan ibadah berpuasa dalam keadaan serba baharu.
Seperti tahun sebelumnya, tradisi dan tingkah laku norma sepanjang Ramadan seperti berbuka puasa atau iftar dan solat sunat Tarawih secara beramai-ramai dilarang kerajaan bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai penjarakan sosial. Amalan tradisi dengan kembali ke kampung halaman untuk bersama-sama keluarga terdekat pada bulan suci ini juga dilarang sama sekali.
Dalam konteks ini, sudah hampir dua tahun suasana negara tidak menentu dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19, kestabilan politik, ekonomi runtuh secara langsung telah mengganggu-gugat kehidupan rakyat, pengangguran tinggi, ramai yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan sehingga ramai menjadi miskin dan sukar menjalankan kehidupan seharian. Oleh itu, kita juga berharap ekonomi rakyat dan negara akan segera pulih dan berkembang dengan segera.
Harapan terbesar kita adalah pasaran kerjaya akan kembali rancak dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, di samping aktiviti perniagaan yang akan mencatatkan momentum yang positif.
Sementara itu, dunia politik tanah air juga perlu pembaharuan yang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa selepas serangan wabak Covid-19 ini berakhir atau reda. Kerajaan memerlukan ahli politik yang berintegriti, matang, rasional, adil dan saksama yang boleh memberikan sumbangan tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik. Oleh itu, politik yang matang dan stabil perlu dipraktikkan dalam kalangan masyarakat supaya ia tidak menimbulkan pelbagai perbalahan atau pergaduhan yang mengganggu kestabilan negara. Ketidakstabilan politik sesebuah negara berpotensi membawa kepada tindakan-tindakan luar jangka seperti rusuhan, demonstrasi, bantahan, tunjuk perasaan dan sebagainya. Kesannya, kegiatan ekonomi yang melibatkan perniagaan akan terjejas kerana terpaksa menghentikan operasi atas faktor keselamatan.
Hal ini akan mengakibatkan pelaburan dalam sektor pelancongan berkurangan. Keadaan politik yang tidak stabil menyebabkan pelabur takut untuk melabur di sesebuah negara kerana pelaburan di negara-negara yang berisiko tinggi dianggap tidak membawa keuntungan. Situasi ini akan menyebabkan pelabur tempatan kekurangan modal untuk melaksanakan sesuatu projek pelancongan lantaran daripada pelabur asing yang memilih negara lain yang lebih stabil politiknya.
Keadaan politik yang tidak stabil turut menyebabkan pembangunan negara menjadi perlahan. Keadaan prasarana yang sedia ada pula semakin dibiarkan begitu sahaja tanpa penyelenggaraan oleh kerana keadaan politik yang kacau bilau. Keadaan ini menyebabkan semua aktiviti pembangunan yang dirancang akan terganggu. Oleh itu, kestabilan politik memang penting untuk memastikan pembangunan berjalan lancar.
Proses membangun dan mentadbir sesebuah negara merupakan usahasama oleh rakyat dan pemimpin. Sekiranya ketidakstabilan politik berlaku, implikasi yang terjadi sudah tentu akan menjejaskan keseluruhan aspek sosial, kebudayaan, politik dan ekonomi negara. Justeru itu, walaupun masyarakat Malaysia berbilang kaum dan bangsa, berbeza ideologi politik namun apa yang penting adalah sikap bersatu padu dalam membangunkan negara perlu ada dalam setiap individu agar keamanan dan keharmonian terus dicapai.
Besarlah harapan kita agar kerajaan yang bakal meneraju negara kelak dapat membentuk kerajaan yang kuat dan stabil yang berpaksikan rakyat serta sentiasa menjunjung demokrasi. Kestabilan politik amat penting kerana kebanyakkan pelabur mahukan jaminan khusus dari segi kestabilan politik dan mahu pelaburan mereka mendapat pulangan yang berbaloi pada ketika ini yang turut terkesan dengan penularan koronavirus (Covid-19).
Perkara ini sangat penting kerana kita memerlukan sebuah kerajaan yang dapat merasai denyut nadi rakyat, menjaga kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat serta sentiasa bersama rakyat baik ketika susah mahupun senang.
Jujurnya, rakyat sentiasa berdoa agar kemelut ini akan segera berlalu dan berharap ahli politik membuat satu jajaran baharu sebagai penyelesaian politik daripada masing-masing ingin menegakkan benang yang basah sehingga mereka lupa bahawasanya mereka berkhidmat pada rakyat dan negara.
Marhaban ya Ramadan disambut dengan penuh kesyukuran bertakbir di bibir para muslimin muslimat, secara fizikal dan psikologi berubah ke arah positif kerana di bulan Ramadan suci ini adalah setiap jiwa penganut agama yang diredhai Allah ini berlumba-lumba mengejar kebaikan dan pahala untuk bekalan di akhirat kelak.
Kesimpulannya, seimbangkanlah antara urusan kehidupan kita di dunia dalam masa sama berusaha juga sekuat mungkin mengumpulkan bekalan untuk akhirat. Wallahua’lam.
SELAMAT BERPUASA KEPADA SEKALIAN MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIMANA JUA BERADA..
SELASA, 13 APRIL 2021
EVANGELINE KIGIS
KOTA KINABALU SABAH
Comments