POLIS SABAH RAMPAS PELBAGAI JENIS SENJATA API TIRUAN DI KOTA KINABALU
Kota Kinabalu - Polis merampas 151 set pelbagai jenis senjata api tiruan dari sebuah premis kompleks beli belah di Kota Kinabalu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata, turut dirampas 283 unit komponen senjata api tiruan berkenaan.
Berikutan rampasan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai penjaga premis berkenaan.
ACP Habibi berkata, senjata api tiruan tersebut ditemui di tingkat dua bangunan berkenaan selepas polis membuat pemantauan terhadap suspek selama 15 minit sebelum mengekorinya ke tingkat dua, yang mana senjata-senjata api tiruan itu ditemui tersimpan dalam kotak.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kota Kinabalu.
ACP Habibi memberitahu, nilai rampasan dianggarkan 60 ribu ringgit dan kes disiasat mengikut Seksyen 35 (1) Akta Senjata 1960.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak menyimpan, memiliki atau menjual apa-apa senjata api tiruan kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang.
Selain itu, beliau meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ternampak individu atau kumpulan yang mencurigakan membawa senjata api di tempat awam.
Laporan : Meja Bencana & Jenayah/Mahkamah RTM
Comments