'Sabah Merdeka 100 persen', 'Hasil bumi dirogol', 'Sabah dimiskinkan:Aktivis Sabah




Empat aktivis Sabah mengadakan bantahan secara senyap ketika Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucap tama di sebuah festival hak asasi manusia di Kuala Lumpur.
Ketika Mahathir berucap hampir 20 minit di Festival Demokrasi 2019, sekumpulan individu bangun dari kerusinya di bahagian belakang dewan dan mengangkat poster yang tertulis slogan: 'Sabah Merdeka 100 persen', 'Hasil bumi dirogol', 'Sabah dimiskinkan'.
Sepanjang Mahathir berucap, mereka terus berdiri tetapi senyap sambil memegang poster.
Salah seorang penunjuk perasaan, Jefry Musa memberitahu Malaysiakini kemudian mereka daripada NGO Borneo Comrade.
Jefry yang memegang poster bertulis slogan Hak Kesihatan Buat Anak-Anak Tanpa Dokumen Sabah' menjelaskan mereka mahu menarik perhatian terhadap masalah di Negeri Di Bawah Bayu itu, mendakwa telah diabaikan selama bertahun-tahun.
Sabah ada banyak masalah
"Rakyat Sabah menderita, tiada siapa yang melihat ke Sabah.
"Motif kami hari ini untuk membuatkan rakyat melihat ke Sabah, Sabah ada banyak masalah.
"Tiada perdana menteri yang pernah cuba menangani masalah-masalah ini [...] walaupun dengan pertukaran kerajaan tidak ada banyak yang berubah," katanya.
Selepas Dr Mahathir dan pemimpin PH lain meninggalkan tempat itu, kumpulan penunjuk perasaan itu mula melaungkan slogannya namun diminta pengacara majlis Hishamuddin Rais untuk berhenti.
Festival yang diadakan di Publika Shopping Gallery itu bertujuan untuk melancarkan secara rasmi NGO hak asasi manusia rantau ini, Forces of Renewal Southeast Asia (Forsea).
Ahli lembaga pengarah Forsea termasuklah Hishamuddin, pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown serta aktivis Singapura dalam pelarian dan peguam Tan Wah Piow.
NGO itu percaya kerjasama masyarakat dari Asia Tenggara penting dalam perjuangan perubahan sosial secara demokratik di rantau ini.

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PEGUAM WANITA SABAH MOHON PAS KELUAR DARI SABAH

MUSA AMAN MAHU SERTAI BERSATU?