PPBM JANGAN ULANGI PENYAKIT UMNO



PPBM JANGAN ULANGI PENYAKIT UMNO

Namunpun PPBM rasmi masuk ke Sabah tetapi baranya masih hangat diperkatakan oleh sebilangan besar rakyat Sabah, ekoran pengalaman bersama UMNO  Sabah dari 1994-2018 yang mengamalkan sistem pecah dan perintah.

Seperkara lagi, rakyat Sabah serik dengan parti luar ini kerana kuasa pusat tertumpu di Putrajaya dari besar hingga sekecil-kecilnya pemilihan wakil rakyat hinggalah ketua menteri hanya direstui oleh pusat saja yang layak menyandang jawatan. Tidak hanya terhenti di sana, hampir semua sumber ekonomi dan projek-projek kerajaan hampir dimonopoli dan campur tangan orang Malaya sehinggakan ramai usahawan dan kontraktor menderita tidak mampu bersaing dengan yang ada kaitan dengan UMNO.
Yang paling menyakitkan hati, korupsi bukan lagi menjadi rahsia tetapi secara terang-terangan dibuat disemua peringkat tanpa diambil tindakan hanya dibiarkan saja atas alasan untuk membiayai urusan parti. Dengan kekalahan Barisan Nasional pada PRU 14 semua tong najis mereka mulai terselongkar, dan ada yang sedang diambil tindakan umpamanya mantan ketua menteri Sabah yang menghadapi berpuluh-puluh tuduhan di mahkamah berhubung dengan salah guna kuasa dalam sektor pembalakan.

Rakyat Sabah sudah fobia dan allergic dengan pengalaman pahit ini, makanya mereka terkejut dengan kemasukan Bersatu akan berulang kembali isu-isu itu tambahan stigma berhubung Tun Mahathir dengan projek mykad walaupun perkara ini telah di perjelaskan bahawa beliau tidak terlibat melalui mahkamah dan inquiry yang lain.

Secara keseluruhannya, melihat mantan-mantan ahli dan pemimpin UMNO semuanya terpalit dengan korupsi bakal menjadi ahli Bersatu di Sabah, bersekutu dengan Warisan hakikat inilah agak berat mereka menerima  kerana bebanan ini secara tidak langsung akan melibatkan Warisan menurut persepsi rakyat. Apalagi dikhabarkan keluarga Musa Aman akan diterima menyertai PBBM Sabah, ini telah menaikan kemarahan rakyat Sabah terhadap kerajaan dan beberapa individu yang terlibat dengan amalan rasuah turut bakal diterima dalam Bersatu.
Bebanan ini amat dirisaukan terutama ahli-ahli warisan yang berjuang habis-habisan untuk menghapuskan kuasa politik dari luar dan campur tangan keterlaluan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Seyogyanyalah, PBBM dapat memperjelaskan visi dan misi ke negeri ini serta menapis keahliannya di Sabah, jangan tangkap muat saja, nanti akan menjejaskan sokongan rakyat kelak. Secara tidak disedari bebanan yang berat sedang dipikul oleh Warisan kerana keberadaan Bersatu di sini ramai melihat era pemerintahan UMNO akan berulang kembali.

Kalau Warisan mampu cemerlang pada pilihanraya lepas dengan barisan pemimpin baru, ada setengahnya tidak mempunyai latar dan pengalaman politik, adalah amat diharapkan kepada Tun M memilih mereka yang bersih menjadi pemimpin Bersatu di Sabah agar kerjasama dengan Warisan akan lebih mudah diterima oleh rakyat.


Soraya Kigis

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PEGUAM WANITA SABAH MOHON PAS KELUAR DARI SABAH

MUSA AMAN MAHU SERTAI BERSATU?