Skip to main content

TENGKOLOK KADAZAN BERTANDA SALIB PERNAH SELAMATKAN MAHATHIR?



BAGI saya Dr. Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya 1990 jika tidak diselamatkan oleh gambar Tengku Razaleigh memakai tengkolok Kadazan bertanda salib”.
Pendapat itu dinyatakan oleh Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin dalam memoirnya, Saya Bukan Menteri (2016). Menurut Zainuddin, orang ramai marah apabila melihat gambar tersebut sehingga ibu pejabat Utusan Malaysia dibanjiri panggilan telefon.
Tengku Razaleigh Hamzah atau dikenali sebagai Ku Li yang ketika itu mengetuai parti serpihan UMNO, Semangat 46 memakai tengkolok berkenaan ketika memeterai kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dipimpin Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. Menurut Zainuddin, kerjasama itu yang berlaku hanya beberapa hari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum Kelapan (PRU-8) melumpuhkan serta-merta motivasi jentera perang saraf UMNO.
Jawatankuasa Perang Saraf Pilihan Raya 1990 yang diketuai Datuk Dr. Wan Ismail Wan Mahmood bermesyuarat dengan lemah semangat dan buntu setelah mendengar berita tersebut (Zainuddin Maidin, 2016).
PBS sebelum itu merupakan satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan merupakan parti gergasi di Sabah dengan kejayaan mendominasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sejak 1985. Joseph Pairin juga merupakan Ketua Menteri Sabah ketika itu.
Walau bagaimanapun, dua hari sebelum hari mengundi, gambar Ku Li memakai tengkolok itu disiarkan di RTM dalam ruangan RTM dan Anda. Gambar itu kemudiannya dicetak sebagai poster sisipan Utusan Malaysia keluaran 19 Oktober 1990. Gambar itu dicetak sama besar dengan saiz akhbar broadsheet Utusan Malaysia dan di bawah gambar itu tertulis ungkapan “Oh Tuhan Jesus Christ Selamatkan 46” (Zainuddin Maidin, 2013).

Menurut Zainuddin, malam itu sekali lagi ibu pejabat Utusan dihujani panggilan telefon daripada orang ramai yang marah melihat Ku Li dalam gambar itu. Gambar itu juga menjadi senjata paling berkesan menghancurkan harapan besar Semangat 46 untuk merampas kuasa daripada BN.
Dalam buku Di Depan Api, Di Belakang Duri (2013), Zam berkata, Dr. Mahathir tidak senang dengan tindakan Utusan Malaysia menggunakan sentimen agama melalui penyebaran gambar itu. Namun setelah menyedari keberkesanan gambar itu, beliau membuat kenyataan yang seolah-olah memberi amaran bahawa sekiranya pengundi gagal membuat keputusan yang tepat, orang Islam mungkin tidak lagi menjadi tulang belakang kerajaan.
BN berjaya memenangi PRU-8 dengan memperoleh 127 kerusi Parlimen meninggalkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang bekerjasama dengan Gagasan Rakyat yang hanya memperoleh 49 kerusi. Dr. Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri.
Kemenangan itu dianggap sebagai kejayaan besar BN, terutamanya buat UMNO yang berjaya membuktikan kepada parti serpihannya, Semangat 46 bahawa keputusan mereka keluar daripada UMNO tidak mampu mempengaruhi fikiran rakyat.
Kemenangan itu juga telah mengangkat nama Dr. Mahathir sebagai pemimpin pilihan rakyat. Zainuddin menulis, kemenangan itu memberikan gambaran bahawa aura Dr. Mahathir semakin hebat dan membuktikan ancaman untuk menggulingkan beliau sebagai Perdana Menteri oleh bekas pemimpin UMNO telah gagal.
Isu tengkolok Kadazan Ku Li beberapa kali dibangkitkan di Parlimen oleh pemimpin pembangkang, terutamanya Lim Kit Siang dan Ku Li sendiri. Ahli Parlimen pembangkang mendakwa, penyebaran gambar itu merupakan strategi jahat BN dan media kawalannya dalam memastikan kerajaan terus ditadbir BN.
Selepas PRU-8, parti Semangat 46 pimpinan Ku Li yang menang hanya lapan kerusi Parlimen menjalankan peranannya sebagai pembangkang sebelum terkubur pada 1996. Semangat 46 tidak berjaya bertahan setelah semakin ramai ahlinya termasuk Ketua Pemudanya yang berpengaruh, Datuk Ibrahim Ali keluar parti.
Ku Li akhirnya kembali kepada UMNO dan mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang sehingga kini.

ku Safiq ku Fozi
Sumber utusan online

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PEGUAM WANITA SABAH MOHON PAS KELUAR DARI SABAH

MUSA AMAN MAHU SERTAI BERSATU?