BEKAS PEMIMPIN UMNO DIPELAWA BERSATU DALAM KERAJAAN SABAH BARU



Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mempelawa mantan pemimpin Umno Sabah untuk bersatu dan berkerjasama dengan kerajaan negeri baharu.
Beliau meminta agar mereka mengenepikan perbezaan politik demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah.
“Ini adalah harapan saya sebagai pemimpin negeri ini. Mereka adalah rakan-rakan kita daripada sebelah yang sudah pun keluar dari Umno dan Barisan Nasional.
“Saya berharap ini satu langkah yang baik kalau kita boleh dapat bersatu dibawah naungan kerajaan yang ada,” katanya.
Ditemui selepas merasmikan majlis Rumah Terbuka Krismas Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick di Dewan Gopog, Taginambur di sini hari ini, Mohd Shafie berkata:
“Kita juga sedar mereka mempunyai pendirian, tapi apa yg penting kepada kita, kita saling bantu membantu utk menjayakan agenda (bangunkan Sabah) bukan untuk parti Warisan, Upko, DAP atau PKR tetapi untuk mempastikan harapan rakyat Sabah ini akan dapat kita bangunkan.”
Presiden Parti Warisan Sabah itu berkata mereka mempunyai maruah tetapi beliau juga yakin bahawa atas kepentingan negeri dan rakyat Sabah “mereka akan membuat keputusan yang baik.”
Pada penghujung tahun lalu, 14 wakil rakyat Umno Sabah mengumumkan keluar daripada parti untuk menjadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan.
Mereka terdiri daripada lima ahli Parlimen iaitu Datuk Ronald Kiandee (Beluran); Yamani Hafez Musa (Sipitang); Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort); Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

Manakala yang lain ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Hajiji Noor (Sulaman), Datuk Masidi Manjun (Karanaan); Datuk Japlin Akim (Usukan); Datuk Musbah Jamloli (Tempasuk); Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang); Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut); Datuk Isnin Aliasnih (Klias); Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).

Terdahulu dalam ucapan beliau, Ketua Menteri meminta sedikit masa untuk menjalankan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, beliau telah berada dalam kerajaan BN selama 30 tahun dan banyak yang telah dilakukan membawa pembangunan ke Sabah.

“Jadi takkan Sabah saya tidak boleh bangunkan. Cuma beri sedikit masa untuk kita bawa perubahan dan menjadikan Sabah antara negeri termaju dalam negara,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH

RAYUAN MUSA GAGAL,DSSA KEKAL KETUA MENTERI SABAH