MUSA AMAN MOHON PASSPORT DIKEMBALIKAN UNTUK RAWATAN DI LUAR NEGARA




Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman memohon untuk mendapatkan kembali pasportnya yang telah diserahkan ke mahkamah, menyebut keperluan meneruskan rawatan perubatannya di luar negara.
Peguamnya, Amer Hamzah Arshad memberitahu media bahawa Adun Sungai Sibuga itu perlu meneruskan rawatan perubatannya di London dan Singapura sebelum beliau kembali ke Malaysia untuk memudahkan siasatan ke atas kesnya.
Permohonan itu dibuat di hadapan hakim Rozina Ayob di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
"Mahkamah akan membuat keputusan pada hari Isnin," kata Amer ketika ditemui di lobi mahkamah.
Musa kembali ke Malaysia pada bulan Ogos 2018. Setiausaha politiknya Joh Wid mendakwa kepulangan Musa bertentangan dengan nasihat doktor.
Pada bulan November 2018, beliau minta dibicarakan terhadap 35 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, membabitkan dakwaan menerima rasuah berjumlah AS$ 63,293,924.88 juta sebagai balasan memberikan kontrak pembalakan.
Beri kerjasama sepanjang masa
Berdasarkan kadar tukaran wang asing hari ini, jumlahnya bersamaan kira-kira RM263 juta. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hong Kong dan Singapura, melalui proksi, antara tahun 2004 dan 2008.
"Sekarang waktu yang sesuai baginya untuk meneruskan rawatan perubatan di London selepas ia dihentikan kerana pihak berkuasa mencari beliau.
"Sekarang beliau telah dikenakan pertuduhan, kami membuat permohonan untuk meneruskan rawatannya (di London)," kata Amer sambil menambah bahawa Musa mempunyai kondisi kesihatan yang tidak dapat didedahkan.
Amer berkata bahawa terdapat bantahan daripada pihak pendakwaan kerana takut bahawa Musa akan mengganggu saksi serta menjadi risiko penerbangan.
"Beliau bukan risiko penerbangan kerana kami telah menunjukkan kepada mahkamah bahawa Musa sendiri ialah orang yang bersedia untuk kembali ke negara ini untuk memudahkan siasatan. Kami ada pengesahan dari doktor bahawa beliau mahu kembali.
"Apabila tiba, pihak kami telah menghubungi polis dan SPRM, jadi beliau telah memberikan kerjasama sepanjang masa. Tidak ada isu yang beliau mahu melarikan diri atau mengganggu saksi," kata Amer.
Peguam itu menjelaskan laporan perubatan dari hospital di London dan Singapura telah dikemukakan di mahkamah.

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH

RAYUAN MUSA GAGAL,DSSA KEKAL KETUA MENTERI SABAH