MASYARAKAT SULUK SABAH MENYOKONG KEPIMPINAN SABAH BAHARU





MASYARAKAT SULUK SABAH MENYOKONG KEPIMPINAN SABAH BAHARU

Masyarakat Suluk merupakan salah satu etnik Anak Negeri di Sabah yang dianggarkan sebanyak 350 ribu dengan majoritinya tinggal di Pantai Timur Sabah. Mereka merupakan etnik yang sangat sinonim dengan sejarah North Borneo/Sabah dan Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha. Di bawah kepimpinan Tun Datu Mustapha, masyarakat Suluk bersatu padu dan hidup aman, makmur, dihormati serta menghormati etnik lain. Nostalgia!


Namun, peranan masyarakat ini pada zaman dahulu seolah-olah kini semakin terhakis akibat ketiadaan kepimpinan yang jelas dan yang menyatupadukan masyarakat ini. Ketua-ketua di kalangan kelompok yang kecil seakan berebut-rebut untuk menjadi ketua pada kelompok yang lebih besar ataupun keseluruhan masyarakat Suluk, yang kemungkinan kelayakan untuk memimpin masih belum kuat. Keadaan seperti ini mungkin akan menjadikan masyarakat Suluk secara keseluruhan sebagai mangsa. Maka, menjadilah etnik Suluk seperti buih-buih di lautan. Banyak...tapi tiada arah yang dapat dilihat, ke kiri ke kanan. Dan banyak, tapi dihempaskan ke tepian pantai tanpa memiliki makna lalu menghilang tanpa siapapun merindui. Sedih!

Ada beberapa ketua kecil masyarakat Suluk ini yang seakan-akan menyalahkan pihak lain atas kekurangan kepimpinan masyarakat mereka. Mungkin supaya mereka dapat dikenali sebagai pemimpin (?). Dalam kelompok ini ada juga yang sanggup menggunakan apa pun cara untuk bersaing dengan pemimpin yang lain,  termasuk menjanjikan sesuatu yang mungkin sangat sukar dicapai. Perkara begini mungkin berlaku setelah perubahan kepimpinan negeri dan negara, pelincir tiada lagi (?). Ada daripada kelompok ini yang menggunakan akhbar sebagai platform untuk menyampaikan agenda mereka tentang masyarakat Suluk, tapi tanpa usaha yang gigih untuk mencari jalan pembelaan dan penyelesaian atas sesuatu masalah dalam masyarakat itu sendiri. Orang kini bilang 'syok sendiri' dan 'malu apa bossku'.

Ada juga pemimpin yang membeza-bezakan masyarakat Suluk atas kekurangan ilmu pengetahuannya tentang budaya, bahasa, dan sejarah masyarakat Suluk itu sendiri, tapi masih ada semangat ingin memimpin. Syabas! Namun perlu juga seorang pemimpin membaca dan mengetahui ilmu yang benar. Iqra!

Ada juga beberapa pemimpin kelompok kecil yang baik dan berpendidikan tinggi, tapi tidak punya ambisi mengetuai kelompok yang lebih besar. Bazir!

Orang muda masyarakat Suluk sebenarnya telah sedar akan keadaan ini. Mereka mengimpikan seorang pemimpin yang berwibawa yang mampu membawa mereka ke arah tujuan yang jelas dan baik. Tun Datu Mustapha kalasahan namu, baita'a kami!

Orang muda masyarakat Suluk hari ini tidak inginkan pemimpin yang kewibawaannya diragui umum, terutama dalam masyarakat Suluk itu sendiri.

Orang muda Suluk sangat kecewa dan hampa, seakan tidak lagi dapat mencari ganti seorang pemimpin ulung seperti Tun Datu Mustapha, kalasahan katan!

Di bawah kepimpinan kerajaan baharu WARISAN-PH ini telah menjanjikan satu pentadbiran yang menyatukan semua etnik. Ini sudah tentu satu usaha murni yang baik. Tinggal lagi, mencari jalan terbaik perpaduan dalam masyarakat Suluk sendiri untuk membantu mencapai matlamat kerajaan kini. Sokong!

Sehingga pemimpin itu ditemui, kemampuan masyarakat Suluk untuk mengorak langkah masih belum jelas untuk maju ke hadapan seiring dengan etnik lain. Tidak adil untuk etnik lain menunggu masyarakat Suluk mencari pemimpin sedangkan kemajuan kini mengetuk pintu negeri Sabah melalui slogan SABAH BARU!

Namun begitu, orang muda masyarakat Suluk akan berusaha semampu yang mereka boleh berikan. Mereka akan mencari jalan untuk maju seiring dengan kemajuan negeri Sabah. Kemajuan ini akan menjadi keutamaan masyarakat Suluk seiring dengan semua etnik Sabah sebagai anak jati Sabah, dan warganegara Malaysia. Pasti!

Dengan adanya pemimpin masyarakat Suluk dari orang muda, maka ia menjadi simbol perpaduan dan wakil yang mampu merapatkan hubungan silarurrahim dengan etnik lain, dengan ilmu yang tinggi, pengetahuan budaya yang mantap dan sahsiah diri yang kukuh. Hebat!

Baru-baru ini pengundi masyarakat Suluk-Bajau dilaporkan seramai 1.5 juta, walaupun jumlah masyarakat ini dalam statistik tidak mencapai seperti angka yang dilaporkan. Dan orang muda masyarakat Suluk maklum bahawa kepimpinan Negeri Sabah tidak dapat ditentukan oleh masyarakat Suluk-Bajau saja. Ia adalah konsensus di antara semua etnik di Sabah. Tuntas!

Dengan adanya pemimpin yang mempunyai ilmu pengetahuan, maka kenyataan yang kurang sesuai juga tidak akan timbul dan mengelirukan masyarakat Suluk itu sendiri, seperti kenyataan yang tidak betul tentang panggilan masyarakat Suluk kepada diri mereka sebagai Tao Sug, jika mereka bertutur dalam bahasa ibunda mereka sendiri. Di sini perlu jelas, bahawa erti Tao Sug itu adalah Orang Suluk. Jadi jelas tiada bezanya bila ia dirujuk pada etnik itu sendiri. Orang Suluk adalah Tao Sug dan Tao Sug adalah Orang Suluk. Orang Suluk yang tidak pandai bertutur dalam bahasa ibundanya, mungkin tidak akan mampu memahami perkara ini. Checkmate!

Jika ia dilihat dari segi kewarganegaraan, itu adalah berbeza sepertimana orang Melayu di Malaysia sendiri sudah ada yang menjadi warganegara Amerika, United Kingdom, Australia dan sebagainya. Apapun kewarganegaraan mereka, ia tetap tidak merubah identiti etnik atau bangsa mereka. Jelas!

Seperti Orang Suluk, Orang Melayu tetap sebagai Orang Melayu walau apapun kewarganegaraan mereka miliki. Dan dalam bahasa Inggeris, Orang Melayu adalah Malay People, dan Malay People adalah Orang Melayu.

Dalam bahasa Inggeris, Orang Putih adalah White People, Whites atau Caucasian. Dan Caucasian ini sebagai Orang Putih, Orang Melayu panggil mereka Mat Salleh, bukan White People, kerana Orang Melayu menggunakan bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris. Ia sama seperti Orang Suluk yang memanggil Orang Amerika sebagai Milikan. Tetapi Orang Amerika tidak memanggil diri mereka sebagai Milikan ketika bertutur dalam bahasa mereka sendiri. Begitu juga dengan Orang Bugis, dalam bahasa ibunda mereka, mereka menyebut etnik mereka sebagai Tao Ugi atau To Ugi. Fahamkan!

Semua tahu bahawa sepertimana masyarakat di Sabah yang lain, masyarakat Suluk juga menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Panglima Hj Mohd Shafie Hj Apdal dan Datuk Darell Leiking, dibantu oleh Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Datuk Christina Liew dan Datuk Wong Tien Fatt. Namun ia akan menjadi satu tugas yang sukar kepada pemimpin-pemimpin negeri Sabah untuk membantu masyarakat Suluk sekiranya mereka sendiri tidak punya pemimpin yang membawa hasrat dan harapan masyarakat mereka kepada pemimpin di peringkat Negeri Sabah apatah lagi ke pemimpin di peringkat Persekutuan.

Oleh itu, penulis ingin membawa masyarakat Suluk untuk bersatu dan melihat kepada kepimpinan baharu, orang muda dengan idea dan ilmu pengetahuan yang mampu mengangkat martabat masyarakat Suluk, supaya dapat memenuhi seruan Tuhan bahawa 'Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubahnya'. Takbir!

Salam Sabah Baru!

Nukilan Ikhlas:
Kapten (Dr) Zulfikar Zulkifli (B)
Rakyat Marhaen Sabah
@MejaCoklat
16/01/2019 @ 2045H

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PEGUAM WANITA SABAH MOHON PAS KELUAR DARI SABAH

MUSA AMAN MAHU SERTAI BERSATU?