SPRM TAHAN 25 INDIVIDU BERKAITAN TENDER DI JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SABAH




KOTA KINABALU: Seramai 25 individu merangkumi pemilik dan pengurus syarikat ditahan di negeri ini bagi membantu siasatan berkaitan pemalsuan dokumen dan mengemukakan penyata bank palsu bagi mendapatkan tender Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dari tahun 2016 hingga 2018.
Daripada jumlah itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 13 pengurus syarikat kontraktor termasuk tiga wanita di daerah ini berkaitan pemalsuan dokumen bagi mendapatkan tender di JPNS.
Difahamkan, semua suspek berusia 30-an hingga 60-an yang ditahan di beberapa lokasi semalam, terdiri daripada pengurus syarikat kontraktor dari Kota Kinabalu, Kota Belud, Kuala Penyu, Beaufort dan Ranau, membabitkan nilai tender keseluruhan bernilai RM6 juta.
Kesemua mereka direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini manakala prosiding bagi mendapatkan perintah reman itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Faliq Basiruddin.
Di Tawau, lima individu direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan dokumen penyata bank bagi mendapatkan tender bernilai hampir RM9 juta.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Herlina Muse di Mahkamah Majistret di sini, selepas membenarkan permohonan SPRM.
Suspek iaitu tiga wanita dan dua lelaki berusia 35 hingga 65 tahun ditahan di pejabat SPRM Tawau dan beberapa lokasi lain antara jam 1.20 tengah hari hingga 9 malam tadi.
Difahamkan, semua suspek adalah pengurus dan pemilik empat syarikat yang mengemukakan penyata bank palsu bagi mendapatkan tender membekal makanan bermasak untuk empat sekolah menengah berasrama sekitar Tawau antara tahun 2017 hingga 2018.
Sementara itu, seorang individu ditahan di Sandakan dan empat di Keningau selain dua di Lahad Datu berkaitan kes sama.
Sumber: BH Online

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH

PEGUAM WANITA SABAH MOHON PAS KELUAR DARI SABAH