WARISAN KEKAL PENDIRIAN TIDAK SETUJU BERSATU BERTAPAK DI SABAH


Mohd Shafie berkata, beliau sudah menyatakan pendirian kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi BERSATU sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bahawa WARISAN akan menjadi rakan Pakatan Harapan (PH), sekali gus BERSATU tidak akan masuk ke Sabah.
 
“Tidak ada mesyuarat (baru-baru ini) tetapi saya telah menyatakan kepada mereka (BERSATU) bahawa apa yang penting kita stabilkan kedudukan (WARISAN dan PH) di sini.

“Pada PRU-14 lalu, mereka mendengar (pendirian) kita, jadi diharapkan mereka akan terus mendengar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Krismas WARISAN di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai usaha beberapa pihak untuk menubuhkan BERSATU di Sabah, termasuk beberapa wakil rakyat pembangkang yang dilaporkan menunjukkan minat untuk menjadi ahli parti berkenaan selepas meninggalkan UMNO, bulan lalu.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong perubahan yang dibawa kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dr Mahathir dan penting bagi kedua-dua pihak untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.

Baru-baru ini, beberapa keping gambar menunjukkan bekas pemimpin UMNO negeri diketuai bekas Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Hajiji Noor memegang borang BERSATU dipercayai permohonan untuk menyertai parti itu tersebar di laman sosial.

Bulan lalu, Hajiji mengetuai 13 wakil rakyat UMNO Sabah keluar parti dan menyatakan menjadi wakil rakyat Bebas.

Pada masa sama, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) diketuai Presidennya, Datuk Lajim Ukin mahu BERSATU mengembangkan sayap ke Sabah walaupun Dr Mahathir ada menyebut parti berkenaan tidak akan ke Sabah.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, beliau dijadualkan menerima kunjungan hormat daripada pemimpin Moro dari selatan Filipina minggu depan, antara lain berbincang mengenai kerjasama untuk menangani beberapa isu berkaitan keselamatan.

“Mereka mungkin akan memberikan saya gambaran mengenai situasi semasa (di selatan Filipina) dan saya minta perkara ini dilihat sebagai pendekatan dalam usaha untuk membentuk kerjasama bagi menangani insiden tidak diingini, terutama di timur Sabah,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PEGUAM WANITA SABAH MOHON PAS KELUAR DARI SABAH

MUSA AMAN MAHU SERTAI BERSATU?