PROS MENGANJURKAN PANGALAY INTERNATIONAL SABAH FESTIVAL 2019



PROS MENGANJURKAN PANGALAY INTERNATIONAL SABAH FESTIVAL 2019

Sekumpulan anak muda etnik Suluk telah melakukan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Haji Mahiruddin di Istana Negeri Sabah hari ini.

Kumpulan ini telah diketuai oleh Kapten (Dr) Zulfikar bin Zulkifli (Bersara) dan Presiden Pertubuhan Profesional Suluk Sabah (PROS), Tuan Nelson Dino bagi membincangkan pelbagai isu semasa di negeri Sabah dan Malaysia keseluruhannya terutama yang melibatkan etnik Suluk. Bersama mereka ada 6 lagi orang muda Suluk dengan pelbagai latar belakang akademik iaitu Dr Mizpal Ali, Mohd Fazil Ajak, Mohd Ferdaus bin Syed, Syed Shah Rezza bin Syed Abu Bakar, Syed Sufri Rezza bin Syed Abu Bakar dan Cik Nurhafisah binti Muzzawer.

Di dalam pertemuan ini antara lainnya telah membincangkan cadangan pewujudan satu Yayasan Etnik Suluk atau YES yang akan diwakili oleh anak muda dari pelbagai latar belakang bukan hanya dari sudut akademik tetapi juga vokasional dan pengalaman. Kumpulan ini juga disarankan agar mengumpulkan pemimpin-pemimpin pertubuhan, persatuan dan kelab etnik Suluk bagi menjayakan pewujudan YES ini yang diharapkan dapat menggalakkan aktiviti-aktiviti kesenian dan kebudayaan etnik Suluk di negeri Sabah. Cadangan mengadakan aplikasi mudahalih (mobile apps) bagi YES ini juga amat dialu-alukan kerana mampu menghubungkan setiap individu etnik Suluk di seluruh Malaysia. PROS juga berharap aplikasi mudahalih seumpama ini dapat dibuat secara menyeluruh meliputi etnik-etnik yang lain dan seterusnya untuk keseluruhan orang Sabah bagi mengeratkan hubungan pelbagai kaum agar dapat merealisasikan hasrat kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Haji Apdal untuk mewujudkan kesatuan rakyat Sabah sebagai Bangsa Sabah.

Selain daripada itu, Tuan Yang Terutama Negeri Sabah juga berkenan untuk menutup acara Pangalay International Sabah Festival 2019 atau PIS Fest 2019 anjuran PROS dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah yang dijangka akan diadakan di Sandakan pada bulan Julai tahun ini. Festival ini bertujuan merancakkan sektor pelancongan negeri Sabah selain daripada mempopularkan kebudayaan dan adat resam etnik Suluk dan etnik lain dengan pelbagai aktiviti yang bersifat ilmiah dan interaktif. Festival ini diharapkan akan mendapat sokongan daripada negara-negara ASEAN, Amerika, Australia dan lain-lain selain daripada wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui UNESCO.

Di akhir pertemuan ini, Tuan Yang Terutama Negeri Sabah telah berkenan untuk menerima cenderahati daripada kumpulan ini yang berupa buku hasil tulisan ahli-ahli PROS terutamanya presiden PROS sendiri iaitu Tuan Nelson Dino dibantu oleh Dr. Mizpal Ali dan Mohd Fazil Ajak.




Di antara buku mereka yang baharu sahaja diterbitkan bertajuk PIS: Pemikiran dan Identiti Suluk boleh didapati di dalam majlis pelancaran buku baru ini yang dijangka akan diadakan pada bulan hadapan. Untuk mendapatkan naskah buku atau ingin menaja kerusi/meja untuk majlis pelancaran buku ini, boleh menghubungi talian +601110577150.

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH

RAYUAN MUSA GAGAL,DSSA KEKAL KETUA MENTERI SABAH