JANGAN ADA SIKAP PELAMPAU YANG BOLEH CEMARKAN AGAMA ITU SENDIRI





Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengajak rakyat negeri ini agar menolak ekstremism dan sikap perkauman kerana amalan itu tidak akan dapat menjayakan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata setiap rakyat perlu berpegang dengan kepercayaan masing-masing dalam kehidupan dan lebih inklusif memandangkan setiap agama menyeru kepada perkara kebaikan untuk bersatu dan menjaga perpaduan semua kaum.

“Rakyat disemua peringkat perlu menyedari jangan ada sifat-sifat pelampau, perkauman yang tebal yang boleh menjejaskan perpaduan negara. Kalau ada sikap ini kita tolak kerana undang-undang sahaja tidak mencukupi.

“Kepentingan rakyat perlu kita jaga, jangan gembar-gemburkan perkara yang boleh menghakis penyatuan rakyat. Ini bukan amalan kita,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Warisan di perkarangan Borneo Sports Arena (BSA) Futsal Kolombong di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman; Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong dan Setiausaha Agung Warisan, Loretta S. Padua serta pemimpin parti gabungan kerajaan negeri.

Mengulas mengenai insiden protes sambutan Krismas lalu di Tawau, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan berkata pandangan ekstrem pihak seumpama itu boleh menghakis perpaduan dan wajar ditolak.

Katanya semua pihak mengetahui bahawa rakyat Sabah terdiri daripada pelbagai kaum dapat hidup aman dan harmoni mengikut kepercayaan, malah menyambut perayaan bersama-sama tanpa sebarang masalah.

“Dalam usaha untuk memupuk perpaduan seperti yang saya nyatakan, rakyat disemua peringkat perlu menyedari jangan ada sifat pelampau kerana ia boleh mencemar agama itu sendiri.

“Selain itu sikap ekstrem dan pelampau boleh menghalang usaha kerajaan meningkatkan ekonomi dan pembangunan untuk rakyat,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH

RAYUAN MUSA GAGAL,DSSA KEKAL KETUA MENTERI SABAH