Skip to main content

BERITA DARI DUN SABAH



KOTA KINABALU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri (TYT) Sabah.
Undian belah bagian yang dijalankan oleh Timbalan Speaker, Datuk Ahmad Abdul Rahman mengenai  pindaan itu disokong oleh 46 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala 14 tidak bersetuju dan lima ADUN tidak hadir.
Pindaan rang undang-undang itu bagi meminda Perlembagaan negeri Sabah Perkara 2 Fasal (3) yang mengehadkan tempoh jawatan TYT kepada dua penggal.
Seramai 13 ADUN telah membahaskan pindaan Perlembagaan itu yang dibaca kali pertama, kedua dan ketiga hari ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pindaan Perlembagaan itu perlu dibuat  kerana kedudukan TYT adalah berbeza kerana Yang Dipertua Negeri adalah simbol kepada ketua negeri dan tidak mempunyai kuasa eksekutif.
Mohd. Shafie berkata, pelantikan TYT bukan berlandaskan tempoh dan kaum semata-mata tetapi berdasarkan kepada kualiti dan tanggungjawab.
"TYT ini dilantik oleh kerajaan negeri bagi memastikan beliau setanding dengan apa yang kita letakkan di dalam Perlembagaan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie menafikan wujudnya rundingan antara ketua menteri dan TYT mengenai pindaan Perlembagaan itu sambil melafazkan sumpah.
DUN Sabah juga turut meluluskan Rang Undang-Undang Perlombongan (pindaan) 2018 bagi memastikan kerajaan negeri mempunyai kuasa yang membolehkan hasil mineral di negeri ini dapat dikawal dengan baik.
Beliau berkata, ordinan perlombongan itu perlu dipinda untuk memastikan ada usaha untuk memperkasakan keupayaan negeri selain memastikan khazanah mineral di peringkat negeri dapat disusun atur dengan baik.
"Perundangan perlu bagi kita untuk mengelakkan pertikaian kerana dari segi bidang kuasa tertentu ada had dan di mana jabatan yang perlu bertanggungjawab. Itu perlu dijelaskan jadi definisi takrifan tentang perlombongan itu perlu ada penjelasan dan cara kita menjelaskan," katanya. - Bernama

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PEGUAM WANITA SABAH MOHON PAS KELUAR DARI SABAH

MUSA AMAN MAHU SERTAI BERSATU?