JEFFREY TIDAK KISAH DI PENJARA JIKA PELUANG KEDUA TIDAK DIHARGAI PUTRAJAYA


Pemimpin pembangkang Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan percaya Putrajaya berhak diberikan peluang kedua bagi membuktikan keikhlasan dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Presiden parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, beliau berharap perbincangan Jawatankuasa Khas Kabinet berhubungan perjanjian tersebut akan menatijahkan sesuatu yang positif, termasuk menjelaskan tentang kuasa yng diberikan kepada Sabah dan Sarawak di bawah persekutuan Malaysia.
Jawatankuasa itu dijadual membentangkan laporan akhirnya pada suku kedua tahun depan.
“Pada masa sama, saya berharap ia bukanlah sekadar permainan politik di pihak mereka. Mereka telah pun mengadakan mesyuarat pertama, jadi wajar kita berikan mereka masa.
“Jika tiada apa-apa berlaku, maka Sabah dan Sarawak perlu mengambil langkah seterusnya bagi mendapatkan semula hak kami,” katanya kepada FMT.
Langkah itu katanya, termasuklah mengadakan referendum, tetapi tidak sama dengan referendum Brexit pada 2016 bagi menentukan pendirian rakyat tentang isu tu.
Beliau menegaskan referendum tersebut boleh dilakukan tanpa persetujuan Parlimen kerana penduduk pribumi mempunyai hak penentuan kendiri di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Tambahan lagi kita tidak menyertai Malaysia, sebaliknya kita membentuknya. Singapura menarik diri daripada Malaysia, kita pun boleh. Kita tidak perlu takut untuk menyebut perkara ini kerana ia merupakan hak kita untuk menyebutnya dalam keadaan tertentu.
“Misalnya apabila sesuatu tidak berjalan seperti yang sepatutnya, apabila hak kita tidak dihormati dan perjanjian itu tidak dilaksanakan,” katanya.
Merujuk kepada kenyataan terdahulu oleh aktivis MA63, Zainnal Ajamain yang berkata, sejak 1963, telah berlaku 50 pelanggaran terhadap perjanjian itu, Jeffrey berkata, di bawah undang-undang biasa, pelanggaran sedemikian sudah membatalkan MA63.
Selain itu kata beliau, bukan sahaja MA63 tidak dipatuhi, kerajaan pusat juga menggunakan pelbagai taktik untuk menghalang orang ramai bercakap mengenai perjanjian berkenaan.
Ini termasuklah penggunaan undang-undang menekan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.
Bagaimanapun Jefferey berkata, beliau berhadap Dr Mahathir Mohamad, yang kini menjadi perdana menteri buat kali kedua, akan memperbetulkan kesalahan yang pernah dilakukan kerajaan sebelum ini, termasuk memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf seperti dijanjikan.
“Bagi saya, ia mudah. Saya tidak kisah dipenjarakan sekali lagi kerana menyebut perkara yang perlu disebut. Sama ada mereka memperbetulkannya atau Malaysia bubar. Anda betulkannya atau kami keluar. Anda tidak boleh berpura-pura bahawa MA63 tidak wujud,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH

RAYUAN MUSA GAGAL,DSSA KEKAL KETUA MENTERI SABAH