PBS TIDAK SELESA DENGAN CADANGAN PEMUDA UPKO TUBUH MAJLIS PRESIDEN

Parti Bersatu Sabah (PBS) memperlekehkan cadangan bekas parti sekutu, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) yang mencadangkan penubuhan majlis presiden untuk parti-parti yang memerintah Sabah.

Naib Presiden Johnny Mositun menggambarkan seruan Ketua Pemuda Felix Joseph Saang itu hanya untuk menarik perhatian.

“Benar-benar melucukan. Apa perlunya majlis presiden sedangkan keempat-empat parti berkenaan sudah membentuk kerajaan dan presiden masing-masing dalam jemaah menteri dan ada akses penuh kepada ketua menteri?

“Apakah ada kekurangan dalam kerajaan Warisan-Pakatan Harapan-Upko?” katanya, dan menambah kumpulan perundingan seperti itu haruslah melibatkan Warisan, Upko, PKR dan DAP.

Saang berkata Pemuda Upko mencadangkan penubuhan majlis itu sebagai platform untuk pimpinan tertinggi gabungan itu membincangkan isu-isu berkaitan.

Saang berkata cadangan itu diterima baik Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal dalam mesyaurat agung Upko pada Oktober.

Beliau berkata majlis itu perlu memandangkan keadaan politik semasa, apabila rakyat “keliru” tentang perkembangan mutakhir ini, dan menambah solidariti antara rakan-rakan gabungan perlu dikukuhkan.

Mositun berkata Saang mungkin sedar Upko bukan lagi parti politik yang penting selepas penghijrahan keluar ahli-ahli politik Umno Sabah, dengan hampir semua bekas Adun dan Ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Beliau berkata Saang juga secara tidak sengaja mendedahkan masalah dalam gabungan itu menerusi cadangan penubuhan majlis presiden.

“Dia akan menafikannya. Tetapi jelas sekali, pimpinan peringkat kedua, sekurang-kurangnya ketua pemuda dan akar umbi dalam Upko, mula meragui kedudukan mereka dalam kerajaan.

“Sudah tentu Warisan, DAP dan PKR nampak Upko juga boleh mengkhianati mereka, seperti yang dialami BN.

“Bolehkah kita salahkan mereka kerana mencari bekas wakil-rakil rakyat Umno sebagai ‘insuran’ menghadapi kemungkinan itu?”

Mositun berkata dia tidak nampak bagaimana cadangan majlis presiden itu boleh mengubah kerjasama antara parti dalam gabungan pemerintah.

Susulan penghijrahan keluar pemimpin-pemimpin kanan Umno Sabah, terdapat desas-desus mengatakan mereka, yang mengisytiharkan diri sebagai ahli politik bebas, boleh menyertai Warisan selain PPBM.


Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH

RAYUAN MUSA GAGAL,DSSA KEKAL KETUA MENTERI SABAH