LAJIM TERUS MENGHARAP,SEDIA BUBAR PHRS UNTUK PPBM



Usul untuk meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengembangkan sayap ke Sabah yang diputuskan persidangan tahunan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) baru-baru ini tetap diteruskan.

Presiden Harapan Rakyat, Datuk Lajim Ukin, berkata walaupun BERSATU menyatakan tidak akan ke Sabah seperti dijelaskan Perdana Menteri yang juga Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, ia tidak menghalang sesiapa saja untuk menjadi ahli.

Lajim berkata, pihaknya menghormati keputusan Dr Mahathir, namun pada masa sama tetap berharap BERSATU dapat melebarkan sayap ke Sabah suatu hari nanti apabila jumlah ahlinya di negeri ini semakin ramai.

“Usul itu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan parti dan kita tetap dengan pendirian untuk meminta supaya BERSATU ke Sabah suatu hari nanti. Walaupun sekarang ia tidak ke Sabah, namun Dr Mahathir tidak menghalang jika kita mahu menjadi ahli.

“Ini bermakna, kita pun boleh menjadi ahli BERSATU, cuma hanya ahli biasa tanpa cawangan dan bahagian. Namun, apabila jumlah keahlian sudah ramai mahu atau tidak, ia perlu juga melebarkan sayap ke Sabah.

“Apabila masanya sudah tiba, semua pihak perlu menghormati kehendak rakyat dan menerima BERSATU untuk melebarkan sayap ke Sabah sejajar dengan amalan demokrasi,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan membubarkan Harapan Rakyat untuk menyertai BERSATU, Lajim berkata perkara itu sudah difikirkan dan hanya menunggu apabila BERSATU bertapak di Sabah.

Katanya, beliau juga sedia bekerjasama dengan bekas pemimpin UMNO Sabah menerusi BERSATU demi kepentingan rakyat negeri ini.

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PEGUAM WANITA SABAH MOHON PAS KELUAR DARI SABAH

MUSA AMAN MAHU SERTAI BERSATU?