MESYUARAT JAWATANKUASA MA63 DI PUTRAJAYA



JAWATANKUASA KABINET SEMAK SEMULA MA63 BERMESYUARAT DI PUTRAJAYA HARI INI

PUTRAJAYA: Usaha Kerajaan Persekutuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dalam Malaysia bermula dengan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 di sini pagi tadi.

Mesyuarat julung kali jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.
Jawatankuasa ini akan bersidang setiap 2 bulan sekali dan dlberi 6 bulan dari tarikh Mesyuarat ini untuk membentangkan Laporan Akhir.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Hj. Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Hj. Openg antara mereka yang hadir dalam acara bersejarah ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata hari ini juga jawatankuasa khas kabinet meluluskan usul perlantikan ahli tambahan dari Sabah dan Sarawak bagi jawatankuasa peringkat Pemandu ini iaitu Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Chong Chieng Jen, Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri-Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Sharifah Hasidah Sayedd Aman dan mantan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Stephen Foo.

Pembentangan usul-usul dilakukan oleh Liew manakala jawatankuasa juga turut mendapat taklimat daripada kedua-kedua Ketua Menteri Sabah dan Sarawak.

Isu-isu yang dibentangkan temasuklah cadangan untuk mengembalikan semula (to restore) hak autonomi kerajaan Sabah dan Sarawak dalam perkara-perkara seperti kewangan (finance); eksplorasi minyak, perlombongan dan gas (oil exploration, mining and gas); perundangan (Iegislation); tanah dan hasil daripada tanah (land and revenue from land); kerja raya Persekutan dan Negeri (Federal and State works); maritim dan perikanan (maritime, estuarine fishing and fisheries); sumber manusia (labour); dan perkhidmatan awam negeri (state public service).

Selain daripada itu pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan kepada fasal sebelum pindaan pada tahun 1976 turut dibincangkan.

Jawatankuasa ini pada amnya akan mengesyor kepada Kerajaan perkara berhubung pelaksanaan hak-hak dan autonomi Sabah dan Sarawak.

Ini selaras dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perkara-perkara yang terkandung dalam ‘Chapter 3, Annexes A and B of the Report of the Inter-Governmental Committee, 1962’.

Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia telah mengadakan beberapa siri mesyuarat penyelarasan bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun ini.

Mesyuarat-mesyuarat tersebut ialah bagi mendapatkan persetujuan awal berhubung senarai isu-isu serta tuntutan yang ingin dikemukakan oleh Kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung Perjanjian Malaysia 1963.

Selain Liew, menteri kabinet persekutuan yang hadir adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kerjaraya, Baru Bian, Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong, Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Zaleha Rose Pandin dan rakan sejawatnya dari Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid serta pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi juga hadir pada mesyuarat pagi tadi.

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH

RAYUAN MUSA GAGAL,DSSA KEKAL KETUA MENTERI SABAH