Skip to main content

KEJAYAAN WANITA LEBIH TINGGI BERBANDING LELAKI DALAM DASAR EKONOMI BARU


Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi mahu lelaki Melayu sedar bahawa wanita mereka lebih serius menyahut cabaran semasa.
Perdana menteri berusia 93 tahun itu berkata dalam percubaan Dasar Ekonomi Baru, kerajaan dapati kaum wanita mendapat kejayaan yang tinggi di mana-mana sahaja berbanding kaum lelaki.
“Ada di antara yang sudah jadi jutawan pun hanya dengan membuat keropok lekor, tudung kepala dan alat kecantikan wanita. Mereka juga mengeluarkan makanan biasa yang tahan lama dan dibungkus dengan cukup menarik.
“Ternampak jelas jika diberi peluang kaum wanita mampu berjaya lagi,” katanya kepada 1,200 perwakilan di mesyuarat agung tahunan PPBM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Bercakap mengenai DEB, Dr Mahathir berkata orang Melayu perlu akui sudah banyak yang kerajaan lakukan untuk perbaiki kedudukan kaum itu, namun hasilnya amat menyedihkan.
Beliau berkata kerajaan boleh adakan pelbagai dasar pro-Bumiputera, tetapi hasilnya mengecewakan jika sambutan daripada orang Melayu tidak seperti yang dirancang dan diharapkan.
Melihat kepada kemampuan wanita Melayu, perdana menteri berkata pentadbirannya akan menambah punca modal, peluang, lesen dan kontrak kepada kaum wanita termasuk di desa, serta akan memperkenalkan jenis perniagaan dan peluang baru kepada mereka.
“Untuk meningkatkan kebolehan mereka, latihan dan pelajaran akan ditambah. Keutamaan akan diberi kepada catatan urusan perniagaan. Amanah Ikhtiar Malaysia akan diperbesarkan dan contoh-contoh baik dalam perniagaan wanita akan dibantu lagi untuk membesar perniagaan mereka,” katanya.
Dr Mahathir beri jaminan kerajaan berdiri di belakang wanita yang terbukti mampu.
“Mereka yang berjaya akan dibantu lagi. Pertandingan antara mereka akan diadakan dan hadiah akan diberi kepada yang berjaya besar,” katanya.
Mengenai peluang pekerjaan di sektor swasta dan kerajaan, Dr Mahathir berkata pentadbirannya mahu menghapuskan diskriminasi terhadap wanita kerana hanya kelulusan yang baik dan pengalaman yang luas boleh dijadikan ukuran.
Perdana menteri turut mengharapkan generasi muda untuk mengubah nasib orang Melayu, memandangkan mereka lebih terlatih, berpelajaran dan cepat mendakap teknologi baru.
“Generasi muda juga akan diberi layanan istimewa, dalam pertanian dan perniagaan kita kerap mencuba menjayakan mereka yang sudah ada dalam bidang-bidang ini. Hakikatnya ialah yang sudah dewasa sukar menerima cara-cara dan teknologi baru. Sebaliknya yang muda lebih mudah dibentuk dan disemai dengan cara-cara baru.”
Dr Mahathir walaupun generasi kurang berpengalaman berbanding generasi tua, ia boleh diatasi dengan pendedahan sebagai pekerja upahan.
“Bermula dengan bekerja sebagai tenaga upahan, yang berminat boleh diberi peluang dan dibantu untuk memasuki bidang yang hampir sama, sebagai usahawan,” katanya.
Dr Mahathir berkata terdapat orang-orang muda yang boleh dicontohi dalam bidang industri, pertanian moden dan ternakan.
“Negara kita amat bergantung kepada barangan dan makanan yang diimport dari negara asing. Sebaliknya barangan ini boleh dikeluarkan dalam negara kita. Generasi muda akan diberi latihan dan peluang untuk memasuki bidang-bidang ini.”

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH

RAYUAN MUSA GAGAL,DSSA KEKAL KETUA MENTERI SABAH