POLITIK WANG;UMNO SABAH BAKAL DISIASAT SPRM


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melancarkan operasi dan serbuan pada bila-bila masa, bagi menyiasat dakwaan politik wang membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Sumber berkata, siasatan itu dijangka membabitkan keseluruhan operasi UMNO, khususnya di Sabah, selepas agensi itu menerima aduan berkaitan kes itu pada Jumaat lalu.

SPRM Sabah sedia siasat

Katanya, SPRM Sabah sudah menerima ‘lampu hijau’ daripada ibu pejabatnya di Putrajaya, untuk melancarkan siasatan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan itu menjurus kepada kegiatan politik wang di Sabah ketika pemilihan UMNO pada Julai lalu, yang menyaksikan Ahmad Zahid menang jawatan Presiden mengalahkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Keseluruhan UMNO bahagian di Sabah menyokong Ahmad Zahid pada pemilihan itu.

“Berdasarkan laporan, terdapat sejumlah wang diberikan kepada UMNO Sabah, ketika pemilihan parti berjalan pada Julai lalu dan ia didakwa membabitkan Zahid.

“Perkara ini difahamkan diketahui oleh segelintir pimpinan UMNO Sabah dan hanya baru-baru ini ia didedahkan kepada SPRM,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan SPRM itu tidak ada kena-mengena dengan pemimpin parti UMNO Sabah, yang keluar parti beramai-ramai baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan, SPRM Sabah sudah diarahkan untuk menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang dibuat.

Siasat ikut undang-undang

“Kita laksanakan siasatan berdasarkan undang-undang kerana kita menerima laporan dan siasatan dilaksanakan,” katanya tetapi enggan mengulas lanjut.

New Straits Times kelmarin, melaporkan SPRM akan menyiasat laporan politik wang itu mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009, kerana memberi atau menerima suapan oleh ejen.
Difahamkan, ia membabitkan sejumlah wang RM150,000.

Sumber:BH ONLINE

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH

RAYUAN MUSA GAGAL,DSSA KEKAL KETUA MENTERI SABAH