GUNUNG MAYON DI FILIPINA MUNTAH ABU PUTIH KELABU ATAS KAWAH



Gunung berapi Filipina paling aktif, Gunung Mayon, telah memuntahkan abu putih kelabu setinggi 500 hingga 600 meter di atas kawah pada pagi Khamis, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang ahli volkanologi Filipina.
Eduardo Laguerta, ahli volkanologi residen di Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), wilayah Albay di utara Filipina, memaklumkan Xinhua bahawa letusan freatik atau letupan wap itu berlaku pada pukul 8.17 pagi waktu tempatan, dan menambah bahawa tiada letusan besar dijangka berlaku.
Phivolcs berkata gunung berapi itu kini "pada tahap pergolakan yang sederhana," menyebabkan pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk untuk menjauhkan diri daripada kawasan berbahaya gunung berapi tersebut iaitu dalam lingkungan 6 kilometer dari kawah susulan kemungkinan berlaku "letusan secara tiba-tiba."
Gunung berapi berbentuk kon setinggi 2,460 meter itu terletak di wilayah Albay, kira-kira 300 kilometer di tenggara Manila di Pulau Luzon.
Dalam satu buletin yang dikeluarkan pada Khamis, Phivolcs memberi amaran bahawa "letusan secara tiba-tiba, runtuhan lava, aliran piroklastik dan pelepasan abu boleh berlaku dan mengancam kawasan di lereng atas dan tengah" gunung berapi itu.
Meletus 51 kali sepanjang 400 tahun
Sebelum letupan wap berlaku, institut itu berkata ia telah mencatat satu bencana gempa bumi sepanjang tempoh 24 jam lepas.
Kali terakhir Gunung Mayon meletus ialah pada Januari tahun ini yang menyebabkan pihak berkuasa bertindak memindahkan beribu-ribu penduduk kampung.
Gunung berapi itu merupakan sebuah destinasi pelancongan popular di utara Filipina.
Ia terkenal kerana bentuk konnya yang hampir sempurna namun mempunyai sejarah panjang dari segi jumlah letusan.
Ia telah meletus sebanyak 51 kali sepanjang tempoh 400 tahun lepas.
Kepulauan Filipina terletak di atas Lingkaran Api Pasifik dan terdedah kepada bencana gempa bumi serta letusan gunung berapi.
- Bernama

Comments

Popular posts from this blog

5 FAKTA DARI PERJANJIAN MALAYSIA 1963

PERJUDIAN GELAP MAKIN BERLELUASA DI KOTA MARUDU.SABAH

RAYUAN MUSA GAGAL,DSSA KEKAL KETUA MENTERI SABAH